PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket

Saturday 11 August 2012

PROGRAM I-THINK

  PROGRAM i- THINK

Program i-Think merupakan program yang bertujuan mempertingkat dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid berinovatif. Dapatan melalui kajian keperluan (needs analysis) menunjukkan bahawa kemahiran berfikir aras tinggi (higher order thinking skill – HOTS) dalam kalangan guru dan murid di Malaysia amat rendah. Sehubungan itu, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri yang telah dipertanggungjawabkan memacu inovasi negara, bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk merealisasikan impian tersebut. 
 
BAGAIMANA i- THINK DILAKSANAKAN?

APA YANG DIHARAPKAN MELALUI PROGRAM i- THINK?
  •   Dengan menggunakan alat berfikir (thinking tools), murid lebih fokus, berkeyakinan dan aktif di dalam kelas.
  •   Aktiviti banyak berpusatkan murid.
  •   Prestasi murid meningkat selepas menggunakan alat berfikir dalam pembelajaran dan pengajaran.

  •   Hubungan guru dengan murid lebih rapat kerana guru lebih banyak berperanan sebagai fasilitator.  

    JENIS THNKING MAP
     
     

Thursday 9 August 2012

HANYA TIGA KATEGORI SEKOLAH

Kementerian Pelajaran menetapkan hanya tiga kategori sekolah sahaja yang akan wujud pada tahun depan bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat mengenai status dan perjuangan sekolah-sekolah berkenaan.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tiga kategori sekolah tersebut ialah :

  1. sekolah kerajaan,
  2. sekolah bantuan kerajaan, dan
  3. sekolah swasta.

"Menjelang tahun 2010 saya nak tengok tiga kategori sekolah saja yang ada sebab saya tak nak orang ramai keliru kerana saya bimbang ada pihak tertentu yang akan mengelirukan dan mengeksplotasi keadaan mengikut kaum dan agama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pakej rangsangan ekonomi peruntukan fizikal berjumlah RM210,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Sungai Getah di Sungai Petani, Selasa.

Beliau berkata sekolah kerajaan merupakan sekolah aliran perdana yang juga sekolah majoriti di negara ini di mana usaha memartabatkan sekolah ini adalah berterusan.

"Sekolah bantuan kerajaan pula sebelum ini kita lihat dalam konteks SJK Tamil dan Cina, sekolah mubaligh dan sekolah agama yang hanya berjuang dalam konteks pemikiran dan perjuangan mereka secara persendirian," katanya.

Hishammuddin berkata sekolah-sekolah bantuan kerajaan akan terus diberi perhatian dan sokongan penuh oleh kerajaan di mana sekolah-sekolah yang daif dan kurang selamat diduduki akan diberi keutamaan.

Sekolah swasta pula, kata beliau dilihat sebagai penjana ekonomi negara pada masa sekarang di mana kecenderungan masyarakat luar untuk memilih sekolah swasta di negara ini berbanding negara lain.

"Sekarang ni orang tak faham dan campur-adukkan. Bila cakap fasal SJK di mana orang samakan dengan sekolah kebangsaan (SK) walhal di sekolah agama bantuan kerajaan yang sama status dengan SJK, tanahnya hak milik sekolah dan lembaga sekolah.

"Ahli lembaga masih ada, di SK tidak ada (ahli lembaga) jadi status dan sejarah berbeza...nak samakan susah tapi kalau tak samakan nanti dieksploitasi oleh kumpulan tertentu yang kata kita menganiayai sekolah yang beraliran lain padahal guru dibekal oleh kita, lembaga kita tak ganggu serta tanah hak milik tetap sekolah dan lembaga," katanya.

Beliau mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengeksploitasikan dan mensensasikan isu-isu pendidikan yang melibatkan kaum dan agama kerana ia boleh memecah-belahkan masyarakat

"Ia menimbulkan emosi, polemik, memecah-belah masyarakat dan bila berlaku, negara tidak stabil dan bila negara tak stabil bagaimana kita mahu pertahankan ekonomi," katanya.

Katanya sekiranya semua pihak tidak bersungguh-sungguh dan mempunyai satu kemahuan politik untuk menangani perkara itu dengan berani, masa depan generasi akan datang akan gelap.

(Sumber: Bernama - 31/03/2009 - 18:16PM)

SISTEM PENDIDIKAN PERLU DIROMBAK



NAJIB diiringi Muhyiddin melawat pameran teknik program I-Think  pada majlis pelancaran program berkenaan di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.

NAJIB diiringi Muhyiddin melawat pameran teknik program I-Think pada majlis pelancaran program berkenaan di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.
PM mahu perubahan aspek mengajar dan cara belajar sejajar tranformasi negara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata sistem pendidikan negara perlu dirombak kerana sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan perubahan terutama dalam aspek mengajar dan cara belajar. 

Perdana Menteri berkata, langkah ini sejajar proses transformasi negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran masa akan datang.
“Transformasi ke arah negara bermaklumat, negara inovasi, berpendapatan tinggi dan berdaya saing memerlukan transformasi sistem pendidikan terutama mengenai cara kita belajar dan mengajar.

Beliau berkata, corak pendidikan sebelum ini yang menekankan kepada ‘hafalan’ perlu diubah dengan menekankan kepada kemahiran proses berfikir di kalangan pelajar supaya mereka mampu menggunakan ilmu yang dipelajari untuk kepentingan diri sendiri. 

“Oleh kerana dunia sudah berubah, keperluan kita adalah menyediakan generasi hari ini untuk dunia yang akan datang,” katanya berucap pada majlis pelancaran Program I-Think, di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili. 

Perdana Menteri berkata, walaupun sistem pendidikan negara sudah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan negara, namun dunia akan datang berbeza dengan hari ini kerana banyak peluang pekerjaan pada masa depan masih belum wujud ketika ini. 
"Saya difahamkan 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada hari muka belum wujud hari ini. Jadi bagaimana kita hendak menyediakan anak kita hari ini untuk masa depan kerana pekerjaan untuk mereka belum lagi wujud.

"Jadi kita memerlukan kaedah pembelajaran yang menekankan aspek bagaimana untuk menggunakan pengetahuan yang ada serta bagaimana untuk berfikir. Jika kita boleh fikir, maka ia memberi kelebihan untuk mengadaptasi sebarang situasi," katanya. 

Najib turut memaklumkan bahawa Projek I-Think yang kini dilaksanakan di 10 sekolah akan diperluaskan ke kira-kira 1,000 lagi sekolah tahun depan dan kepada semua sekolah menjelang 2014. 

Program I-Think adalah projek bersama Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran yang tinggi dan inovasi di peringkat sekolah rendah dan menengah. 

Pada awal tahun ini, sepuluh sekolah dipilih di seluruh negara untuk menjadi sebahagian daripada projek perintis yang bertujuan memperkenalkan proses berfikir di kalangan pelajar sekolah. 

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementerian dalam proses mentransformasi sistem pendidikan dengan meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran. 

“Menerusi program I-Think ini, kementerian berusaha menerap proses berfikir bagi membantu murid memahami sesuatu konsep dan aplikasi konsep itu dalam menyelesaikan segala permasalahan yang diberikan,” katanya. 

Muhyiddin berkata, kemahiran itu juga akan menjadi sebahagian daripada modul di Institut Pendidikan Guru untuk memastikan bakal guru cukup terlatih dan bersedia menyampaikan teknik program I-Think selepas tamat pengajian mereka. 

Katanya, langkah seumpama itu adalah satu permulaan penting dalam menaik taraf mutu sistem pendidikan negara agar aspirasi holistik Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dicapai. 

Sumber : Utusan Malaysia